Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha pada setiap muslim. Hari Raya Haji dikenali juga sebagai Hari Raya Korban dan ianya merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah.
Hari Raya ini juga dinamakan Hari Raya Haji kerana pada saat tersebut jutaan umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima dan sebagai menyahut seruan Allah Subhanahu Wataala.
Banyak kelebihan ibadat korban, antaranya :
- Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
- Mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim.
- Melahirkan sikap penyayang.
- Memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah.
Namun demikian, seperkara yang patut diberikan perhatian di dalam melakukan ibadah korban ialah agar ianya dibuat di atas dasar keikhlasan dan mengharapkan keredaan Allah Subhanahu Wataala semata-mata dan bukan sebagai jalan untuk bermegah-megah dengan kekayaan yang ada. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala hanya akan menerima amalan seseorang itu mengikut tahap keikhlasan dan juga ketakwaannya dan bukan kepada besar atau kecilnya binatang yang dikorbankan itu.




