Sunday, May 12, 2013

Terus berlari, sayang.


Sejujurnya aku sangat resah dengan pertanyaan itu. Kenapa harus muncul saat seperti ini. Mulut mengatakan ya, boleh, tabah, kuat, tapi hati hanya Tuhan yang tahu.  Jika ikutkan hati, bila-bila saja boleh bersatu.  Tapi minda mula mengingatkan supaya lebih waras.  Ada jodohkah kami ? Apa akan berlaku lagi 4 tahun ? Bagaimana dengan perancangan setahun yang lalu ? semuanya bermain di fikiran.  Si dia resah, aku lagi resah memikirkannya, tapi sudah tidak mampu mahu meluahkan. Akhirnya  hanya kata semangat yang aku titipkan buatnya, padahal hati sendiri menangis.  Hati lebih banyak menduga saat seperti ini. Argh, bukankah ini yang aku mahu sejak dua tahun yang lalu ? pergi jauh dari semua orang yang pernah mengenali aku.  Membuka diari baru.  Aku akan terus berlari sejauh yang boleh, walau dalam hati menyedari satu hari nanti sirih akan pulang ke gagang walau hujan batu di negeri sendiri. Tidak kira bagaimana, aku tetap akan berlari pergi sejauh yang aku mampu demi menggembirakan hati sendiri. Luka yang dipendam sejak 7 tahun yang lalu membuatkan aku tak betah lama-lama di rumah sendiri. Banyak kisah yang tak mampu aku pendam tapi dek kerana demi menjaga hubungan keluarga, aku pendamkan saja luka hati sendiri.  Biarlah aku yang menderita sendiri.  5 tahun menganyam impian, dua tahun aku membina hidup baru di kolej.  Aku lupakan semua yang berlaku, bertemu dengan sang pencuri hati yang tak pernah gagal membuatkan aku gembira walau kadang terselit derita lalu.  hati sentiasa gembira dengan dia di sisi. Pedulikan apa orang kata, mereka tidak pernah tahu apa jadi padaku bertahun yang lalu.  Biarkan mereka menilai, aku tidak peduli, aku sudah bahagia di sini.  Dua tahun juga aku menyimpan angan untuk berlari lebih jauh.  Bila saat itu hampir tiba, hati resah lagi.  Mulut mengatakan mahu ku gapai impian sejak kecil, mahu ku sahut cabaran orang- orang yang tidak pernah jemu menilai aku, mahu ku katakan pada mereka, lihat lah, gadis kecil yang dipanggil anak kucing kurap ini satu waktu dahulu sudah hampir berjaya.  Gadis kecil yang hanya dipandang sebelah mata ini satu ketika waktu dulu sudah mampu menabur bakti.  Bukankah emak pernah kata pada mereka, jangan hina lagi anak kecil ini, tika dia besar nanti mungkin dia orang yang kamu akan panggil saat susah nanti.  Itu kata-kata di mulut, di hati hasratnya hanya satu, mahu pergi lebih jauh.  Membawa bersama orang-orang yang penting di hatinya.  Tapi mampukah aku ? penat memikirkan rintangan yang bakal dihadapi, aku hanya menyerahkannya pada takdir.  Aku hanya mahu melalui jalan yang telah ditakdirkan untuk aku.  Memang lumrah hidup begitu.