Sejujurnya aku
sangat resah dengan pertanyaan itu. Kenapa harus muncul saat seperti ini. Mulut
mengatakan ya, boleh, tabah, kuat, tapi hati hanya Tuhan yang tahu. Jika ikutkan hati, bila-bila saja boleh
bersatu. Tapi minda mula mengingatkan
supaya lebih waras. Ada jodohkah kami ?
Apa akan berlaku lagi 4 tahun ? Bagaimana dengan perancangan setahun yang lalu
? semuanya bermain di fikiran. Si dia
resah, aku lagi resah memikirkannya, tapi sudah tidak mampu mahu meluahkan.
Akhirnya hanya kata semangat yang aku
titipkan buatnya, padahal hati sendiri menangis. Hati lebih banyak menduga saat seperti ini.
Argh, bukankah ini yang aku mahu sejak dua tahun yang lalu ? pergi jauh dari
semua orang yang pernah mengenali aku.
Membuka diari baru. Aku akan
terus berlari sejauh yang boleh, walau dalam hati menyedari satu hari nanti
sirih akan pulang ke gagang walau hujan batu di negeri sendiri. Tidak kira
bagaimana, aku tetap akan berlari pergi sejauh yang aku mampu demi
menggembirakan hati sendiri. Luka yang dipendam sejak 7 tahun yang lalu
membuatkan aku tak betah lama-lama di rumah sendiri. Banyak kisah yang tak
mampu aku pendam tapi dek kerana demi menjaga hubungan keluarga, aku pendamkan
saja luka hati sendiri. Biarlah aku yang
menderita sendiri. 5 tahun menganyam
impian, dua tahun aku membina hidup baru di kolej. Aku lupakan semua yang berlaku, bertemu
dengan sang pencuri hati yang tak pernah gagal membuatkan aku gembira walau
kadang terselit derita lalu. hati
sentiasa gembira dengan dia di sisi. Pedulikan apa orang kata, mereka tidak
pernah tahu apa jadi padaku bertahun yang lalu.
Biarkan mereka menilai, aku tidak peduli, aku sudah bahagia di
sini. Dua tahun juga aku menyimpan angan
untuk berlari lebih jauh. Bila saat itu
hampir tiba, hati resah lagi. Mulut
mengatakan mahu ku gapai impian sejak kecil, mahu ku sahut cabaran orang- orang
yang tidak pernah jemu menilai aku, mahu ku katakan pada mereka, lihat lah,
gadis kecil yang dipanggil anak kucing kurap ini satu waktu dahulu sudah hampir
berjaya. Gadis kecil yang hanya
dipandang sebelah mata ini satu ketika waktu dulu sudah mampu menabur
bakti. Bukankah emak pernah kata pada
mereka, jangan hina lagi anak kecil ini, tika dia besar nanti mungkin dia orang
yang kamu akan panggil saat susah nanti.
Itu kata-kata di mulut, di hati hasratnya hanya satu, mahu pergi lebih
jauh. Membawa bersama orang-orang yang
penting di hatinya. Tapi mampukah aku ?
penat memikirkan rintangan yang bakal dihadapi, aku hanya menyerahkannya pada
takdir. Aku hanya mahu melalui jalan
yang telah ditakdirkan untuk aku. Memang
lumrah hidup begitu.